ANUGERAH KONVENSYEN INOVASI PERKHIDMATAN AWAM SARAWAK | OKTOBER 2024
Oktober, Kuching - Majlis Penyampaian Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak 2024 (Sarawak Civil Service Innovation Convention Award, SCSICA) telah berlangsung di Hotel Pullman Kuching, Sarawak. Konvensyen berkonsepkan penarafan bintang (star rating) itu menyaksikan 50 kumpulan yang terdiri daripada Jabatan/Agensi Negeri Sarawak, Jabatan Persekutuan, Jabatan Residen, Pejabat Daerah Sarawak serta Pihak Berkuasa Tempatan Sarawak berentap bagi mengetengahkan produk masing-masing.
Kumpulan The Rajang yang mewakili Bahagian Pemetaan Topografi Sarawak merupakan antara pasukan yang terpilih bagi mewakili Jabatan Persekutuan sebagai finalis konvensyen dan telah berjaya mendapat penarafan 4 bintang dalam konvensyen tersebut.
SCSICA 2024 telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak. Beliau menzahirkan ucapan tahniah terhadap usaha berterusan yang memacu perubahan bermakna dan berimpak tinggi melalui pembudayaan inovasi dalam kalangan penjawat awam.
Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Dato Ahmad Nadzri bin Mohd Hassan, Setiausaha Persekutuan Sarawak. Dalam ucapan aluannya, beliau berharap agar produk-produk yang berpotensi akan dapat direplikasi dan digunakan oleh agensi-agensi berkaitan bagi memberi impak yang signifikan serta bermanfaat kepada pelbagai pihak terutama sekali rakyat Sarawak.
Memetik ucapan YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki, Setiausaha Kerajaan Sarawak menyatakan bahawa Sambutan Bulan Inovasi 2024 bukan sekadar acara tahunan, tetapi ia juga merupakan salah satu usaha berterusan bagi menerap dan memperkukuh nilai inovasi dan integriti dalam kalangan warga perkhidmatan awam Sarawak serta Persekutuan.
Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin warga Jabatan yang lain untuk menyahut seruan kerajaan dalam membudayakan daya cipta rakyat bagi membantu memacu ekonomi negara.
Tahniah The Rajang.
Sumber: Bahagian Pemetaan Topografi Sarawak, JUPEM
Comments