top of page

AGONG BERKENAN RASMI T3S

Updated: 7 Feb

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG BERKENAN MERASMIKAN MONUMEN TEMERLOH TITIK TENGAH SEMENANJUNG (T3S) | 18 JANUARI 2024


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan merasmikan Monumen Temerloh Titik Tengah Semenanjung (T3S) di Temerloh, Pahang pada 18 Januari 2024.



Keberangkatan tiba DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong disambut oleh YBrs. Sr Hazri bin Hassan, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia, YBrs. Sr Muhammad Salim bin Mohammad Asari, Pengarah Ukur Bahagian Kadaster, YBrs. Sr Tsalimy bin Abdullah, Pengarah Ukur dan Pemetaan Negeri Pahang dan Sr Mohamad Azmar bin Che Mat, Pengarah Ukur Bahagian, Perancangan dan Korporat.

 

Majlis Perasmian T3S yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Pahang turut dihadiri oleh YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang, YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC serta pegawai-pegawai daripada Kerajaan Negeri Pahang.

 

DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mencemar duli untuk meninjau T3S yang dibangunkan oleh ECERDC meliputi monumen ikonik dan taman awam bagi mempromosikan Temerloh sebagai Titik Tengah Semenanjung Malaysia dan pusat maklumat.

 

Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) merupakan agensi yang bertanggungjawab dalam penentuan titik tengah semenanjung tersebut menggunakan pelbagai kaedah termasuklah kaedah topografi, kiraan jisim dan matematik. Dalam penentuan ini, kaedah matematik dipilih bagi menentukan titik tengah semenanjung yang terletak di Kampung Paya Siput, Temerloh, Pahang.

 

Kesan daripada kedudukan tersebut menjadikan destinasi T3S sebagai salah satu lokasi pelancongan baharu di Temerloh, Pahang.


Informasi : Terdapat 2 monumen di lokasi Titik Tengah Semenanjung Malaysia (T3S) ini, iaitu Monumen T3S JUPEM dan Monumen Ikonik T3S. Ia terletak di Kg.Paya Siput, Lanchang, Temerloh, Pahang. Kedua-dua monumen ini berjarak 8 meter antara satu sama lain. Bagi koordinat titik tengah ini adalah Latitud 3° 29' 33" dan Longitud 102° 13' 10". Monumen T3S JUPEM ini terletak 133 meter dari kedudukan asal titik tengah. Ia juga berfungsi sebagai Titik Kawalan Ukur untuk Semenanjung Malaysia. Tinggi Monumen dari aras purata laut 52.176 meter.


Sumber: Bahagian Perancangan dan Korporat (BPK), JUPEM



29 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page