PENGUKUHAN INTEGRITI MELALUI PROGRAM BICARA INTEGRITI BERSAMA USTAZ SYAMSUL DEBAT | 29 APRIL 2024
Program Bicara Integriti bertajuk “Biasakan Yang Betul, Betulkan Yang Biasa” anjuran Unit Integriti Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dengan kerjasama Bahagian Perancangan dan Korporat (BPK), Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) JUPEM dan Persatuan Kebajikan Pekerja Islam (PKPI) JUPEM telah diadakan pada 29 April 2024 (Isnin) bertempat di Dewan Ukur, Ibu Pejabat JUPEM.
Program ini dirangka bagi melaksanakan tanggungjawab Unit Integriti selaras dengan fungsi penubuhannya di samping menggarap warga JUPEM dengan budaya "Biasakan Yang Betul, Betulkan Yang Biasa". Kendatipun peribahasa tersebut nampak sama namun setiap bait-bait kata memberi pengertian yang berbeza dan makna tersirat.
Pengisian program telah disampaikan oleh penceramah bertauliah iaitu Ustaz Syamsul Amri bin Haji Ismail atau sinonim dengan panggilan Ustaz Syamsul Debat secara bersemuka di hadapan 200 orang peserta dan telah disiarkan secara langsung melalui platform media sosial Facebook dan Tiktok rasmi jabatan. Program ini turut mendapat sokongan daripada Sr Hamzah bin Hasan, Pengarah Ukur Bahagian (Kartografi dan GIS), Sr Abd Rahman bin Mohd Jazuli @ Mahmood, Pengarah Ukur Bahagian (Pemetaan Topografi Semenanjung) dan Sr Powzy bin Mohd Som, Timbalan Pengarah Ukur Bahagian (Ehwal Persempadanan).
Intiha program telah disempurnakan dengan penyampaian cenderamata daripada penganjur kepada Ustaz Syamsul Debat dan disusuli dengan sedikit jamuan ringan. Diharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sekali gus memberi manfaat kepada semua warga JUPEM ke arah membiasakan yang betul dalam menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan.
Sumber : Unit Integriti JUPEM
Terbaik program sedemikian