MESYUARAT KE-26 JAWATANKUASA TEKNIKAL NAMA GEOGRAFI KEBANGSAAN (JTNGK)
Pada 31 Julai 2024, Mesyuarat Ke-26 Jawatankuasa Teknikal Nama Geografi Kebangsaan (JTNGK) telah diadakan bertempat di Hotel Seri Malaysia, Perlis. JTNGK merupakan jawatankuasa teknikal tertinggi dalam struktur penentuan nama geografi nasional dan bersidang pada setiap tahun bagi melaporkan aktiviti-aktiviti teknikal di peringkat negeri dan kebangsaan serta membincangkan isu-isu berbangkit berkaitan penentuan nama geografi. Ianya dihadiri oleh ketua-ketua jabatan atau wakil ketua-ketua jabatan daripada pelbagai agensi ahli Jawatankuasa Kebangsaan Nama Geografi (JKNG) di peringkat persekutuan dan negeri. Antara agenda utama mesyuarat ini adalah pembentangan laporan aktiviti kumpulan-kumpulan kerja di bawah JTNGK dan laporan aktiviti penamaan geografi di peringkat persekutuan dan negeri. Mesyuarat ini juga akan membincangkan isu-isu berbangkit serta meluluskan usul-usul yang yang diutarakan oleh jawatankuasa-jawatankuasa dan kumpulan-kumpulan kerja di bawahnya.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh YBrs. Sr Dr. Ahmad Sanusi bin Che Cob, Timbalan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia I selaku Pengerusi JTNGK. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh 41 orang ahli mesyuarat termasuk sekretariat yang terdiri daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTUS), Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTSS), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pusat Geospatial Negara (PGN) NRES, Pusat Hidrografi Nasional (PHN), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Digital Negara, PLANMalaysia, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kerajaan Tempatan, wakil Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri-negeri di seluruh negara.
Terdapat tiga pembentangan daripada kumpulan-kumpulan kerja yang terdiri daripada Kumpulan Kerja Dasar dan Pengemaskinian Nama Geografi (KKDPNG), Kumpulan Kerja Pangkalan Data Nama Geografi dan Gazetir Kebangsaan (KKPDNG) dan Kumpulan Kerja Nama Pulau dan Entiti Geografi (KKNPEG). Terdapat juga pembentangan khas daripada wakil Bahagian Pangkalan Data Geospatial Negara (BPDGN) berkaitan dengan status sempadan pulau-pulau bercantum. Pelbagai isu telah dibincangkan semasa mesyuarat ini berlangsung bagi mendapatkan resolusi untuk persetujuan bersama. Usul dan cadangan daripada ketiga-tiga kumpulan kerja akan diangkat ke JKNG untuk kelulusan yang dijangka akan diadakan pada bulan September 2024 ini.
Selain itu, sekretariat JTNGK telah merangka lawatan teknikal ke Gua Kelam 2, Perlis pada 1 Ogos 2024 selari dengan pengiktirafan Perlis sebagai Geopark Kebangsaan dengan gelaran Perlis Geopark. Gua Kelam merupakan sebahagian daripada identiti geografi Malaysia. Nama "Gua Kelam" mencerminkan ciri-ciri uniknya dan menggambarkan konteks budaya serta sejarah kawasan tersebut. Pendedahan mengenai sejarah Gua Kelam membolehkan ahli mesyuarat menghormati warisan alam, menyokong kesinambungan budaya dan sejarah, serta mempromosikan pendidikan dan pelancongan.
Comentários