MEMPERKUKUH DAN MEMBUDAYA INTEGRITI DALAM KALANGAN WARGA BAHAGIAN PEMETAAN TOPOGRAFI SABAH (BPT SABAH) MELALUI PROGRAM JERAYAWARA INTEGRITI | 21 -22 MAC 2024
Jerayawara Integriti pada tahun 2024 telah dimulakan di Bahagian Pemetaan Topografi Sabah (BPT Sabah). Prakarsa ini bermatlamat untuk memantapkan fungsi pengukuhan integriti dan pematuhan selaras dengan teras yang terkandung dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), Ceraian SP.1.2.1.
Sr Shaffri bin Baudi, Pengarah Ukur Bahagian Pemetaan Topografi Sabah telah sudi meluangkan masa menghadiri program ini seterusnya menyempurnakan pembukaan Jerayawara Integriti @ BPT Sabah. Dalam ucapan alu-aluannya, beliau menyambut baik usaha turun padang yang dilaksanakan oleh Unit Integriti JUPEM. Penganjuran Program Jerayawara Integriti merupakan aktiviti turun padang yang telah mendapat mandat Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan (KPUP) pada 9 November 2023 dan akan dilaksanakan setiap suku tahun di JUPEM Negeri selaras dengan fungsi Unit Integriti.
Teras pengukuhan integriti melalui segmen ceramah telah disampaikan oleh Encik Lim Song Huat selaku Ketua Unit Integriti secara bersemuka kepada lebih kurang 50 orang pegawai dan kakitangan di Ibu Pejabat BPT Sabah dan secara dalam talian untuk pegawai dan kakitangan di Pejabat Topografi Wilayah Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau. Perkongsian ini turut dimanfaatkan oleh wakil daripada Bahagian dan JUPEM Negeri. Inti pati pengukuhan integriti yang disampaikan ditumpukan kepada perkara-perkara dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, integriti dan rasuah serta pengurusan kes-kes tatatertib.
Melalui prakarsa ini, semua kakitangan di BPT Sabah diberi kesedaran tentang pematuhan kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Selain itu, kepentingan integriti telah diterapkan untuk mengelakkan dari rasuah serta salah guna kuasa. Sesi libat urus bersama barisan pengurusan BPT Sabah turut diadakan untuk menambah baik prosedur kawalan dan pengawasan tatatertib.
Usaha membanteras penyalahgunaan dadah diteruskan di BPT Sabah dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kota Kinabalu yang telah diketuai oleh Encik Asraf Hafiz bin Hj. Ruslan, Ketua Operasi Penguatkuasa dengan bantuan lima (5) orang pegawai dari AADK.
Semoga usaha-usaha ini dapat membentuk pemikiran yang positif, memberi kesedaran terhadap nilai-nilai integriti dalam aspek tugas harian, meningkatkan komitmen warga BPT Sabah berhubung aspek pembudayaan integriti dalam organisasi serta meningkatkan nilai kerja cemerlang dan pengurusan sahsiah kendiri seiring dengan hasrat negara membina masyarakat madani.
Lain-lain gambar berkaitan: https://drive.google.com/drive/folders/1mk802wpXD0YdlWKw9T-FezHlL7Slg-Gd
Sumber: Unit Integriti JUPEM
Comments