Bahagian Kartografi dan GIS (BKGIS), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah menganjurkan Kursus Keselamatan Dan Perlindungan Dokumen Serta Pengurusan Fail pada 3 hingga 5 September 2024 di Bilik Mesyuarat Tingkat 6, BKGIS.
Kursus ini telah dihadiri oleh 15 orang pegawai dan kakitangan BKGIS yang terdiri daripada kakitangan lantikan baharu, kakitangan yang baru melaporkan diri bertugas di BKGIS serta kakitangan sedia ada yang terlibat secara langsung dalam pengurusan fail di bahagian ini.
Perkongsian ilmu telah disampaikan oleh Encik Anuar bin Seran, Pengarah Keselamatan Kerajaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Puan Nurul Dalila binti Mat Ali dari Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (KPKK), Mej. Nurzatul Iffah binti Abdul Malik dari Bahagian Geospatial Pertahanan (BGSP), JUPEM dan Puan Sukana binti Saudi, Pegawai Arkib dari Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Matlamat penganjuran Kursus Keselamatan Dan Perlindungan Dokumen Serta Pengurusan Fail seperti yang berikut:
memberi pendedahan dan kefahaman mengenai akta, pekeliling, arahan dan prosedur berkaitan keselamatan dan perlindungan dokumen;
memberi pendedahan mengenai tatacara mengendalikan dokumen rahsia rasmi bagi memastikan dokumen di bawah tanggungjawab masing-masing dikendali dan diselia dengan betul dan selamat;
memberi penerangan kepada peserta mengenai peranan dan tanggungjawab sebagai penjawat awam dalam merahsiakan rahsia Kerajaan selaras dengan Akta Rahsia Rasmi 1972;
memberi pendedahan dan kefahaman mengenai prinsip, konsep dan peraturan dalam pengurusan rekod Kerajaan serta prosedur pewujudan, penggunaan dan penyelenggaraan serta pelupusan rekod kepada pegawai yang baru dan sedia ada;
memastikan pengurusan rekod di peringkat Bahagian sentiasa berada pada tahap terbaik dan efisien; dan
memastikan kawalan dan penyelenggaraan dokumen–dokumen geospatial terperingkat mematuhi Pekeliling Am Bil 1 tahun 2007.
Semoga segala ilmu yang disampaikan menerusi kursus ini dapat dimanfaatkan dan diadaptasi secara berterusan oleh pegawai dan kakitangan mengikut tatacara yang betul bagi memastikan pengurusan fail dan rekod di BKGIS lebih teratur dan sistematik. Penceramah turut mencadangkan agar pihak jabatan menganjurkan Bengkel Klasifikasi Fail (KF) dengan mensasarkan penyertaan dari semua bahagian di JUPEM agar ia dapat diselaraskan sebelum pelaksanaan Digital Document Management System 2.0 (DDMS 2.0).
Sumber : Bahagian Kartografi dan GIS
Comments