PERASMIAN MAKMAL KEJURUTERAAN NILAI (VE) BAGI PEMBINAAN KOMPLEKS MINI NRES, KOTA KINABALU, SABAH OLEH YBHG. DR. CHING THOO KIM, KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM (NRES) | 5 FEBRUARI 2024
YBhg. Dr. Ching Thoo Kim, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah hadir merasmikan Makmal Kejuruteraan Nilai (VE) bagi Pembinaan Kompleks Mini NRES, Kota Kinabalu, Sabah di Hotel Klagan, Kota Kinabalu, Sabah. Turut hadir sama di dalam perasmian Makmal ini ialah YBrs. Sr Hazri bin Hassan, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia, YBrs. Muhammad Helmi bin Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), YBrs. Dr. Frederick Tating, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sabah, YBrs. Amirzudi Bin Hashim, Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Negeri Sabah dan YBrs. Ir. Ts. Dr. Hajah Siti Fairus Binti Haji Zakaria, Pengarah Bahagian Bangunan dan Struktur, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia.
Makmal Kejuruteraan Nilai (VE) Projek Penilaian Bangunan Kompleks Mini NRES Sabah ini berlangsung dari 5 Februari 2024 hingga 9 Februari 2024 ini dihadiri oleh seramai 103 orang peserta daripada wakil jabatan dan agensi dibawah Kementerian NRES seperti Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET).
Makmal VE ini diadakan bertujuan untuk memastikan setiap tahap perancangan pembangunan Pembinaan Kompleks Mini NRES menghasilkan nilai maksimum dengan kos minimum. Selain daripada itu, dalam ucaptama YBhg. Dr. Ching Thoo Kim menyarankan Pembinaan Kompleks Mini NRES ini mencirikan bangunan hijau seperti penggunaan cat yang mempunyai GreenMark (MGTC), penggunaan alat cekap air, Green Walkway, kurangkan penggunaan kenderaan dalam perkarangan bangunan (kurangkan karbon), menggunakan teknologi Sistem Pengumpulan Air Hujan (SPAH), pewujudan EV Charging Station dan pewujudan galeri di lobi supaya orang ramai dapat mengenali jabatan- jabatan di bawah NRES.
YBhg. Dr. Ching Thoo Kim bersama-sama pemegang taruh dan ahli Makmal VE turut berkesempatan mengadakan lawatan tapak Kompleks Mini NRES Sabah di atas Lot Tanah CL215304831, Mukim Jesselton, Daerah Penampang, Sabah. YBhg. KSU mengharapkan
output dan outcome daripada makmal VE ini agar projek pembinaan Mini NRES ini berjalan dengan lancar, teratur dan sistematik selaras dengan kehendak Kerajaan yang memberikan
penekanan dalam mempercepat projek-projek yang memberi impak kepada rakyat. Selepas ucaptama tersebut, YBhg. Dr. Ching Thoo Kim seterusnya merasmikan Makmal Kejuruteraan Nilai (VE) Projek Penilaian Bangunan Kompleks Mini NRES Sabah.
Sumber : Bahagian Pemetaan Topografi Sabah (BPTSabah), JUPEM
Comments