Bahagian Pemetaan Utiliti, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) sedang melaksanakan satu kajian perundangan bersama dengan pihak perunding iaitu Fadilah Shah & Co. berhubung dengan kawal selia dan perkongsian data pemetaan utiliti bawah tanah antara pihak JUPEM dan penyedia utiliti di negara ini.
Antara tujuan utama kajian perundangan ini dilaksanakan adalah untuk mengkaji kebolehlaksanaan dalam menggubal satu perundangan baru dan mengenal pasti pindaan perundangan berbangkit (consequential amendment) sekiranya ada yang berkaitan dengan kawal selia dan penguatkuasaan pengukuran dan pemetaan utiliti bawah tanah yang merangkumi aspek penyerahan, penyimpanan dan perkongsian data.
Kajian perundangan ini dilaksanakan seiring dengan agenda di dalam Kajian Dasar Pemetaan Utiliti JUPEM bahawa terdapat kelompongan perundangan dari aspek perkongsian data di mana tiada dasar atau undang-undang bagi pengukuran dan pemetaan utiliti bawah tanah yang mewajibkan mana-mana pihak untuk berkongsi data pengukuran dan pemetaan utiliti bawah tanah kepada Kerajaan.
Oleh yang demikian, pihak JUPEM melalui Bahagian Pemetaan Utiliti telah melaksanakan beberapa sesi libat urus yang melibatkan sesi Focus Group Discussion (FGD) dan juga melalui sesi temuramah. Sesi FGD ini telah dilaksanakan pada dua sesi iaitu yang pertama pada 23 Julai 2024 bertempat di Hotel Perdana Kota Bharu, Kelantan dengan keterlibatan dari agensi seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia (TM), Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK), Gas Malaysia Berhad, Petronas Gas Berhad, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
Seterusnya sesi FGD kedua pula telah dijalankan di Sama-Sama Hotel KLIA, Sepang pada 19 Ogos 2024 dengan kehadiran wakil dari Lembaga Jurukur Tanah (LJT), Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA) serta Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR). Pada masa yang sama pihak JUPEM bersama perunding juga telah menjalankan sesi libat urus secara temuramah sepanjang bulan Ogos 2024 bersama dengan beberapa agensi antaranya melibatkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Pusat Geospatial Negara (PGN), Koridor Utiliti Selangor (KUSEL), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PlanMalaysia), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Sesi libat urus FGD dan temuramah ini amat penting dalam mendapatkan input serta pandangan kesemua pemegang taruh yang terdiri dari pelbagai sektor, punca kuasa dan peranan mereka masing-masing dalam menguruskan hal berkaitan utiliti di negara ini. Hasrat utama jabatan adalah untuk memastikan pengurusan pemetaan utiliti bawah tanah khususnya ini dapat dikawal selia dan diuruskan dengan lebih sistematik, integriti dan efisyen dalam membantu Kerajaan di dalam isu perancangan pembangunan, pengurusan bencana serta keselamatan aset-aset utiliti yang utama di negara ini.
Gambar 1 : Sesi Focus Group Discussion Sesi 1 di Kota Bharu, Kelantan
Gambar 2 : Sesi Focus Group Discussion Sesi 2 di Sepang, Selangor
Gambar 3: Sesi Focus Group Discussion Sesi 2 di Sepang, Selangor
Gambar 4 : Sesi Temuramah bersama wakil dari Suruhanjaya Tenaga (ST)
Gambar 5 : Sesi Temuramah bersama wakil dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)
Gambar 6 : Sesi Temuramah bersama wakil dari Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)
Comments