KURSUS ASAS REMOTE PILOT UNMANNED AIRCRAFT SYSTEM (UAS)-SIRI I | 6-10 MEI 2024
Kursus Asas Remote Pilot Unmanned Aircraft System (UAS) – Siri I telah diadakan pada 6 hingga 10 Mei 2024 bertempat di Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN), Behrang, Perak. Kursus ini adalah hasil kerjasama antara Bahagian Dasar dan Penyelarasan Pemetaan (BDPP), JUPEM dan pihak INSTUN. Majlis Penutup kursus disempurnakan oleh Pengarah INSTUN iaitu Tuan Khairin Nazry bin Karim. Turut sama menghadiri Majlis Penutup kursus adalah Sr Siti Zainun binti Mohamad, Pengarah Ukur Bahagian Pangkalan Data Geospatial Negara (BPDGN), JUPEM.
Kursus ini dihadiri seramai 33 orang peserta yang terdiri daripada 12 JUPEM Negeri. Penceramah yang dijemput terdiri daripada pegawai-pegawai dari INSTUN iaitu Sr Khor Yao Fa, Sr Fazili Anuar bin Md. Yusuf dan dibantu oleh barisan fasilitator iaitu Encik Sharol Mizam bin Osman, Encik Mohd Salim bin Mohd Yusoff dan Puan Alifah binti Abd Hamid. Selain itu, Sr Shahrul Nizam bin Mohamad Jarali dari JUPEM Perak turut menyumbang ilmu sebagai tenaga pengajar bagi kursus ini.
Tujuan kursus ini diadakan adalah bagi memperkasakan kemahiran operator JUPEM dalam mengendalikan peralatan UAS, SOP mengendalikan dan menyelenggara peralatan dengan kaedah yang betul. Di samping itu, kursus ini juga dilaksanakan untuk meningkatkan mutu kompetensi, daya saing dan barisan produktiviti dalam melaksanakan dan memproses data-data lapangan UAS.
Kursus ini juga menekankan aspek semakan kualiti data UAS yang diperoleh di lapangan dan meningkatkan kecekapan para pemproses dalam meminimakan ralat manusia (human error) sepanjang aktiviti pemprosesan dijalankan berpandukan Peraturan Ukur Geomatik 2021. Seterusnya, kursus ini juga bertujuan mengoptimumkan penggunaan perisian dan perkakasan dalam menghasilkan produk atau output yang berkualiti tinggi.
Informasi:
Di akhir kursus ini, diharapkan para operator UAS dan para pemproses data UAS mempunyai keupayaan yang baik dalam menjalankan tugas dengan lebih berkesan demi pengemaskinian dan pengurusan data geospatial yang memberangsangkan agar misi dan visi databank sentiasa tercapai.
Sumber : Bahagian Dasar dan Penyelarasan Pemetaan, JUPEM
Comentários